Google
 


KELANTAN FM

Media Alternetif Anda



[ Copy this | Start New | Full Size ]
Tel Manis FM 097666999 UNTUK LAGU PERMINTAAN & SEMBANG BERSAMA DJ MANIS FM
THRG
Radio in Malaysia

Pakat Dgr Ilmu Tajwid.......

BERITA SEMASA

Keputusan

Ilmu Pengetahuan I

Sunday, May 4, 2008

Ilmu Pengetahuan Pemangkin Masyarakat Penyumbang

Marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar ketaqwaan. Kerana sesungguhnya, yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah yang paling bertaqwa.

Saudaraku yang dirahmati Allah,
Islam menuntut kita untuk menimba ilmu. Ini terang dan nyata daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda s.a.w. Firman Allah s.w.t.:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١)
Maksudnya: “bacalah (Wahai Rasulullah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),”
(Surah Al-‘Alaq ayat 1)


Perintah untuk membaca merupakan sebuah petunjuk dan hikmah untuk kita rajin menimba ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, terdapat banyak lagi hadith-hadith dan ayat al-Quran yang mengajak kita untuk memperkayakan diri dengan ilmu. Seperti sabda Rasulullah s.a.w.,

Maksudnya: “menuntut ilmu itu adalah fardhu ke atas setiap individu Muslim”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Mengapakah Islam menggalakkan umatnya agar berilmu? Kerana orang-orang yang berilmu adalah golongan mulia di dunia dan mereka akan diangkatkan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah s.w.t. Seperti firman Allah s.w.t:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَاجَيْتُمُ الرَّسُولَ فَقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيْ نَجْوَاكُمْ صَدَقَةً ذَلِكَ خَيْرٌ لَكُمْ وَأَطْهَرُ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٢)

Maksudnya: ”Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Itulah perbezaannya. Orang yang berilmu, akan diberikan kemuliaan dan kehormatan di dunia hingga ke akhirat. Dengan itu, ilmu yang dipelajari dengan ikhlas, dan daripada sumber yang betul, akan bermanfaat buat selama-lamanya.

Lihat sahaja kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan kebaikan serta membawa kesejahteraan. Maka Baginda dapat melaksanakan kebaikan dengan berbekalkan ilmu yang didapati langsung dari Allah s.w.t. Maka segala kebaikan ini berpunca dari keterangan hati dengan cahaya hikmah dan kebijaksanaan yang hanya dianugerahkan kepada yang berusaha mencarinya dan mendalaminya.

Sepertimana diriwayatkan, nasihat Luqman al-Hakim pada anaknya: Wahai anakku, duduklah bersama para ulamak serta dekatilah mereka, sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sepertimana Allah menghidupkan bumi yang gersang dengan air yang diturunkan.

Begitulah hendaknya kita saudaraku,
Antara matlamat yang perlu diletakkan dalam diri adalah untuk terus meningkatkan diri pada setiap masa dalam kehidupan kita. Ini adalah kerana sebagai masyarakat Islam kita inginkan kebaikan dan manfaat. Manfaat buat diri, manfaat buat keluarga dan manfaat buat masyarakat. Dan Baginda Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar menjadi umat yang paling banyak membawa manfaat. Sepertimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling membawa manfaat pada manusia lain”

(Hadith Riwayat Imam Al-Baihaqi)

Sebenarnya, nilai cinta pada ilmu pengetahuan serta keinginan untuk memberi sumbangan yang berkesan sudah menjadi identiti masyarakat Islam di Singapura khususnya. Inilah yang perlu kita terus pupuk di dalam jiwa masyarakat dan generasi mendatang.

Sebagai contoh, baru-baru ini di Singapura, seorang wanita yang amat terkesan dengan penderaan yang dialami oleh wanita-wanita lain, lantas tidak hanya berdiam diri. Tetapi dengan semangat untuk memulihkan keadaan dan inginkan kebaikan, beliau meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu sains kemasyarakatan demi untuk membantu wanita-wanita yang didera dan keluarga mereka yang terjejas. Maka dengan ilmu pengetahuan yang mendalam, ia dapat membantu wanita-wanita yang didera dengan lebih berkesan.

Satu contoh lagi di negara kita, bagaimana seorang ibu tiga orang anak yang terus berusaha dan tidak mengaku kalah walaupun menghadapi penyakit yang berat. Demi untuk membantu keluarga dan meningkatkan taraf kehidupan, beliau terus meningkatkan diri dalam bidang refleksologi. Melalui kemahiran ini, beliau dapat membantu dalam menampung keperluan keluarganya.

Inilah antara contoh yang ada dalam masyarakat kita. Melalui contoh ini, ia mengambarkan bahawa sumbangan serta kebaikan dapat memberikan kesan yang lebih mendalam dengan ilmu pengetahuan. Kerana dengan ilmu pengetahuan sahaja, bantuan yang diberikan akan membantu membuka jalan bagi masalah-masalah yang dihadapi.

Saudaraku,
Maka jelas kepada kita sekarang ini, bahawa Islam menganjurkan kita untuk terus menimba ilmu. Tetapi bagaimanakah cara untuk menerapkan dalam diri kita perasaan cinta kepada ilmu? Adakah kita menjadikan pembacaan buku amalan harian kita? Selama ini pernahkah kita ke perpustakaan dan mengajak anak-anak ke sana? Adakah kita giat dalam meneroka dan menimba ilmu baru, menghadiri kuliah-kuliah, seminar dan kursus yang bermanfaat?

Ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita amalkan untuk membiasakan dan menguatkan semangat kita untuk terus menimba ilmu:

Pertama: Mencari sebuah topik ataupun bidang ilmu yang baik yang kita benar-benar minat. Kemudian pergilah ke pusat perpustakaan misalnya, dan cari buku-buku yang berkenaan dengan minat kita. Mula membaca dan meneroka lebih mendalam bidang ilmu tersebut. Apabila minat kita semakin bertambah, dan kita mendahagakan pengetahuan yang lebih lagi, carilah kursus-kursus ataupun seminar yang berkaitan dengannya. Carilah pula teman-teman yang mungkin mempunyai minat yang sama, dan mungkin banyak yang akan dapat dikongsi bersama.

Kedua: Dapatkanlah sokongan daripada orang-orang yang teredekat dan tersayang dalam hidup kita. Ini akan lebih mendorong kita untuk tingkatkan usaha. Kerana sokongan dari orang yang rapat dengan kita, merupakan satu motivasi untuk meneruskan perjuangan kita sepanjang hayat.

Ketiga: Sentiasa berdoa kepada Allah swt agar kita diberikan kekuatan, kesihatan dan diterangkan hati untuk mempelajari ilmu baru bagi kebaikan dan manfaat diri, keluarga, dan seluruh masyarakat.

Maka, setelah kita mendengar perlunya kita memberi sumbangan dan membawa manfaat yang lebih berkesan dan bermakna, dan kita memerlukan ilmu pengetahuan, dari mimbar ini saya menyeru, bagi para pelajar di semua peringkat persekolahan, ayuh belajar bersungguh-sungguh agar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran anda. Bagi para ibu-bapa pula, ayuh kita luangkan masa, walaupun hanya satu jam dalam seminggu, untuk kita membaca buku, hadiri kuliah-kuliah di masjid, ataupun mengambil kursus dalam apa jua bidang untuk membina kemahiran diri kita.

Semoga dengan kita mendalami sesuatu ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan cinta pada ilmu pengatahuan, kita dapat membangunkan sebuah masyarakat yang bukan hanya memberikan sumbangan yang seadanya sahaja, tetapi sumbangan yang kita curahkan ini akan mampu merubah serta mencorak kehidupan yang penuh dengan kebaikan dan kesejahteraan Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.

sumber
Majlis Agama Islam Singapura

My Blog List

Wali Band - Mari Shalawat

Wacana Perdana Dewan Besar Balai Islam

Date Conversion
Gregorian to Hijri Hijri to Gregorian
Day: Month: Year