Google
 


KELANTAN FM

Media Alternetif Anda



[ Copy this | Start New | Full Size ]
Tel Manis FM 097666999 UNTUK LAGU PERMINTAAN & SEMBANG BERSAMA DJ MANIS FM
THRG
Radio in Malaysia

Pakat Dgr Ilmu Tajwid.......

BERITA SEMASA

Keputusan

Ilmu Kunci Bagi Muslim Progresif

Friday, May 16, 2008

S
audaraku yang dikasihi,
Ingin saya mengajak diri saya dan anda semua untuk sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar ketaqwaan. Ketaqwaan yang berasaskan ilmu pengetahuan yang meluas serta penghayatan yang ikhlas. Sesuai dengan apa yang turun di dalam wahyu ilahi pertama:
Maksudnya: “Bacalah (wahai Rasulullah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Yang telah menciptakan manusia daripada segumpal darah” (Surah Al-`Alaq ayat 1)

Saudaraku,
Jika kita cuba mengamati ayat ini, kita akan dapati bahawa perintah Allah s.w.t. yang sulung dikaitkan dengan proses pencarian ilmu, iaitu membaca. Ini merupakan satu pengiktirafan yang besar terhadap peranan ilmu dalam membina keimanan serta memupuk ketaqwaan.

Jelas kedudukan ilmu sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Namun kita perlu bertanya apakah sebabnya?

Ketahuilah saudaraku, melalui ilmu pengetahuan, manusia mampu mengenali Allah. Hanya dengannya, manusia mampu memperolehi kebenaran, dan hanya dengannya, manusia mampu memilih jalan mencari keredhaan Allah s.w.t dan memelihara diri daripada kesesatan dan khurafat. Sepertimana firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa ianya (iaitu Al-Quran) adalah benar” (Surah Fussilat ayat 53)

Saudaraku yang dikasihi sekelian,
Dengan kesedaran umat Islam terdahulu terhadap kedudukan ilmu, mereka telah mampu membina tamadun ilmu serta kemajuan teknologi di zaman mereka. Telah diabadikan di dalam lembaran sejarah bagaimana umat Islam dengan budaya ilmu mereka telah menghasilkan penemuan penting dalam bidang sains hayat dan sosial yang sangat berharga di dalam pembangunan tamadun.

Sebagai contoh, Ibnu Sina merupakan pakar kedoktoran yang terkenal sehingga hari ini melalui karyanya Qanun at-Tib ataupun ensiklopedia kedoktoran. Al-Idrisi merupakan ahli geografi pertama yang telah melakarkan peta bumi dengan teliti. Beberapa kota Islam juga dikenali sebagai pusat ilmu dunia ketika itu seperti Andalus. Baghdad pula dikenali dengan perpustakaan Baitul Hikmah yang mempunyai kumpulan buku yang amat banyak di dalam pelbagai bidang ilmu.

Lihatlah saudara sekalian,
Bagaimana masyarakat awal Islam, bukan sahaja menguasai ilmu agama, tetapi juga ilmu-ilmu lain yang membawa sumbangan besar kepada masyarakat setempat dan dunia. Ini sesuai dengan hadith Baginda s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak membawa manfaat kepada manusia lain.”
(Riwayat Imam al-Baihaqi)

Sebagai contoh, seorang pengurus jururawat yang telah mendapat latihan ortopedik di Jepun, telah membentuk idea untuk sebuah alat bantuan berjalan yang melengkapi keperluan pesakit yang baru dibedah. Melalui ilmu yang diraih, beliau telah dapat memberi sumbangan dalam mencipta alat bantuan berjalan tersebut yang didapati dapat mempercepat penyembuhan pesakit, mengurangkan kos rawatan mereka, dan pada masa yang sama, banyak katil dapat dikosongkan lebih awal untuk pesakit yang lain.

Begitulah hendaknya kita sebagai umat Islam Singapura di dalam memperkukuhkan Identiti Muslim Singapura kita. Di dalam usaha menjadi Muslim yang baik, ternyata kita mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan umat manusia secara amnya.

Saudaraku,
Selain daripada menjadi asas tamadun serta membantu kita mengenali Allah s.w.t, ilmu juga akan memelihara kita daripada kesesatan dengan membantu kita untuk menilai yang hak dari yang batil, yang betul dari yang salah.

Lebih-lebih lagi dalam kehidupan masa kini, di mana dengan kemajuan internet, saluran maklumat menjadi tidak terbatas. Apa jua maklumat, baik yang betul ataupun menyeleweng daripada kebenaran, boleh didapati dengan hanya menekan butang komputer. Semua lapisan umur, baik yang kecil ataupun yang tua, terdedah kepada pelbagai jenis maklumat, yang mungkin tidak mempunyai asas kebenaran ataupun yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan kemarahan.

Soalannya, di dalam suasana ini, bagaimanakah dapat kita bina daya tahan di dalam diri, keluarga serta masyarakat? Ternyata, ilmulah menjadi perisai yang membenteng kita daripada mudah menerima sesuatu ajaran ataupun maklumat tanpa membuat penilaian yang menyeluruh.

Ini adalah kerana seorang yang berilmu akan dapat mengawal emosinya serta akan membuat penilaian yang menyeluruh sebelum menerima sesuatu maklumat ataupun informasi. Seorang yang berilmu tidak akan hanya bertindak berdasarkan sangkaan semata. Itulah pesanan Allah s.w.t. kepada umat manusia.

Maksudnya: “Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali prasangka sahaja. Sesungguhnya prasangkaan itu tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka kerjakan.”
(Surah Yunus ayat 36)

Begitulah orang yang berilmu, tidak akan mudah menuruti hawa nafsu dan emosi, tidak akan mudah tunduk kepada sesuatu yang bersandarkan sangkaan semata. Beliau tidak akan mudah menghukumkan sesuatu ataupun seseorang tanpa bukti yang kukuh. Seorang yang berilmu tidak akan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu mana-mana pihak tanpa memikirkan akibat perbuatannya. Prinsip ini jugalah yang diperlukan oleh seorang mukmin di dalam menghadapai cabaran kehidupan hari ini. Begitulah panduan Allah s.w.t. di dalam Al-Quran:
Maksudnya: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar ayat 9)

Saudaraku,
Marilah sama-sama kita budayakan semangat belajar dan mencari ilmu sepanjang hayat di dalam keluarga dan masyarakat. Janganlah mudah berasa puas hati dengan apa yang sudah kita perolehi. Kerana ini hanya membawa kepada kancah kelalaian dan kemunduran. Sesuai dengan kata-kata hikmah: “Timbalah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.”

Marilah saudaraku, tingkatkan dan perkayakanlah diri dan keluarga kita dengan ilmu agama, sains moden serta pengetahuan am. Dengan pengetahuan yang menyeluruh, masyarakat kita akan mampu membangunkan daya tahan dan menjadi masyarakat yang membawa manfaat dan sumbangan kepada persekitarannya.

Semoga dengan budaya ilmu yang rancak dan pemikiran yang terpandu, masyarakat Islam Singapura akan benar-benar menghayati keimanan dan mencapai ketaqwaan sebenar, di samping menjadi inspirasi dan contoh kepada yang lain. Amin ya Rabbal `alamin.

My Blog List

Wali Band - Mari Shalawat

Wacana Perdana Dewan Besar Balai Islam

Date Conversion
Gregorian to Hijri Hijri to Gregorian
Day: Month: Year