Tuesday, February 17, 2009
S
etelah menggunakan pendekatan salah untuk membentuk kerajaan haram di Perak, UMNO/BN mahu langkah keparat itu dilupakan oleh rakyat dan menaikkan imej mereka sebagai pembela rakyat yang tulen.
Mereka melancarkan propaganda melalui media yang menyokong apa saja aktiviti tidak bermoral mereka. Kesalahan dipindahkan kepada pembangkang untuk mengalihkan perhatian. Sehubungan itu, mereka mempermainkan sentimen institusi raja bagi melindungi fakta SPR berlagak seperti mahkamah dalam isu kekosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering serta pengabaian Perkara 16(6) dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
UMNO/BN perlu menerima hakikat bahawa semua golongan muda yang telah mengambil peperiksaan SPM tahu dengan jelas fungsi dan peranan tiga badan dalam pentadbiran negara; peranan dan fungsi SPR; serta pilihan raya melalui Bab 7 dalam buku teks Sejarah Tingkatan 5. Tak payahlah bersusah payah membohongi golongan muda di Malaysia. Mereka cerdik-cerdik belaka. Jika tidak masakan keputusan peperiksaan mereka cemerlang!!!
Di samping itu, mereka memunculkan kembali tuduhan klise, iaitu PAS menjadi kuda tunggangan DAP. Tujuannya adalah untuk mengadu domba kedua-dua parti itu. Ternyata mereka amat mencemburui keakraban dua buah parti yang berjaya meraih sokongan besar orang Melayu mengatasi kebolehan UMNO dan berjaya meraih sokongan besar orang Cina dan India mengatasi MCA dan MIC.
Pada masa yang sama, PAS turut menerima sokongan padu kaum Cina dan India melalui Kelab Penyokong PAS. UMNO/BN tiada pilihan selain daripada memecahkan kekuatan itu.
Setelah belang sebenar UMNO/BN terserlah satu demi satu, mereka menghadapi kesukaran yang amat besar untuk merealisasikan hasrat itu.
Politik baru UMNO/BN mahu tidak mahu terpaksa dihadapi oleh PR walau sebesar mana pun kejelekan yang melengkonginya.
PR sudah berjaya mengharunginya berkat kerjasama yang tidak kenal penat lelah selama ini. Teruskanlah perjuangan itu dengan melihat ke hadapan dan menggantung imej yang dicalarkan di pagar pengalaman.
Kini, kerajaan haram majoriti UMNO di Perak mendidik rakyat, terutama golongan muda menerima perbuatan menculik dan mengurung ADUN serta mengumpan lawan untuk memenuhi agenda sendiri sebagai perbuatan yang bermoral, bertamadun, dan bermaruah. Sampai hati UMNO menggunakannya untuk meracuni pemikiran orang muda Malaysia; sedangkan di sekolah mereka dididik supaya mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang masa.
Jerangkap samar yang sengaja dipasang oleh UMNO/BN perlu dimusnahkan sebelum memerangkap rakyat di negara tercinta ini. Rakyat wajib diselamatkan daripada terjerumus ke kancah kebinasaan. Kekalutan dan kebingungan serta kehilangan pedoman dalam kalangan rakyat perlu dihindari.
Pasti kita tidak mahu cara sebegini digunakan oleh mana-mana rakyat Malaysia untuk menyelesaikan masalah mereka dalam kegawatan ekonomi yang semakin mencengkam sekarang ini.
Puluhan ribu yang telah kehilangan pekerjaan. Janganlah bermain api atas perkara yang sensitif ini. Atikal Asal