Google
 


KELANTAN FM

Media Alternetif Anda



[ Copy this | Start New | Full Size ]
Tel Manis FM 097666999 UNTUK LAGU PERMINTAAN & SEMBANG BERSAMA DJ MANIS FM
THRG
Radio in Malaysia

Pakat Dgr Ilmu Tajwid.......

BERITA SEMASA

Keputusan

Kurban membina perjuangan

Saturday, December 20, 2008


S
ejak BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga pada Mac 2008 lalu, politik BN dan Umno tidak lagi stabil. Sesama parti komponen BN, mereka bercakaran. Di waktu yang sama, pergolakan dalam Pemuda dan Wanita Umno sudah menghampiri kemuncak, dan kedudukan calon Presiden Umno sendiri masih diperkatakan orang kerana dianggap 'tidak bersih'.

Perhatian kini tertumpu ke Kuala Terengganu ekoran kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Calon PAS tidak menjadi masalah sama ada Mohamed Sabu kekal bertanding atau anak tempatan yang akan mewakili PAS. Yang menjadi perhatian sekarang ialah calon BN kerana pergolakan dalam Umno Terengganu begitu parah. Sama ada penyokong Idris Jusoh atau Ahmad Said yang menjadi calon, kedua-duanya tidak menjamin kemenangan BN. Kedua-dua kem berbalah sakan dalam pemilihan Umno di Kuala Terengganu.

Apapun perkembangan yang berlaku dalam politik Umno sekarang, bagi umat Islam, tumpuan kita beralih kepada ibadat haji dan kurban yang akan disambut pada 10 Zulhijah. Ibadat haji ini adalah satu rukun Islam yang begitu simbolik terhadap perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi. Ia bukan hanya menjadi milik para jemaah haji yang berpeluang ke Makkah, tetapi juga seluruh umat Islam wajar menghayatinya dan memahami falsafah ibadat ini.

Satu masa dahulu, Ali Shariati, seorang ahli sosiologi Iran telah membangkitkan persoalan politik haji yang sepatutnya membina kekuatan umat Islam dalam mengembalikan kedaulatan agama Allah ini. Sejak itu, umat Islam mula mengaitkan semula perhimpunan raksasa di tanah suci ini sebagai 'demontrasi antarabangsa' umat Islam dalam menyatakan ketauhidan Allah.

Jauh sebelum kelahiran Ali Shariati, masalah haji telah dibangkitkan oleh seorang orientalis Barat, Snouck Hurgronje apabila dia mengkaji kekuatan umat Islam di Aceh yang sukar dikalahkan Belanda. Dia pernah menyamar sebagai seorang Islam untuk mengkaji peranan dan fungsi ibadat haji dalam membina kekuatan umat Islam. Akhirnya, beliau menulis �Atjeh Veslag� pada 1892 yang mengesyorkan supaya ulama dan ibadah haji dipisahkan daripada masyarakat dan seterusnya melahirkan ulama yang memisahkan agama dari politik.

Dalam masa tidak sampai 10 tahun, Kesultanan Aceh runtuh dengan strategi ini. Di Tanah Melayu, British pernah menghantar Abdul Majid Zainuddin, seorang pengikut Qadiyani untuk menjadi perisik di Makkah bagi menyekat ibadat haji daripada membina kesedaran politik orang Melayu. Atas gerakan sulit Abdul Majid Zainuddin, orang Melayu meninggalkan Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah yang banyak melahirkan pejuang kemerdekaan dan mereka menubuhkan Madrasah Darul Ulum di Makkah.

Apabila kita meneliti ibadat haji, maka satu sejarah yang tidak boleh dipisahkan ialah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.. Nabi Ibrahim dilahirkan dalam satu masyarakat yang menyembah berhala dan bertuhankan Namrud, seorang raja yang zalim. Ibrahim mencari kebenaran dengan menolak ketuhanan bulan dan matahari, akhirnya menemui Tuhan yang sebenar iaitu Allah.

Inilah contoh perjuangan seorang nabi mencari kebenaran dan menolak segala amalan tradisi yang batil dan zalim. Kerana itu, Allah melantik baginda sebagai pemimpin manusia. Ketika baginda meminta supaya anak-cucunya juga diangkat sebagai pemimpin, Allah menolak orang-orang yang zalim untuk memimpin manusia. Kerana itulah, kita mesti berjuang supaya keadilan ditegakkan dan orang-orang yang zalim dijatuhkan.

Perjuangan Nabi Ibrahim di Iraq berakhir dengan beliau dibakar dan kemudian dihalau dari kampung halamannya. Ketika berada di Baitul Maqdis, isteri keduanya, Siti Hajar telah mengandung. Lalu diperintahkan Allah supaya isterinya itu dibawa ke Makkah, satu tempat yang sangat jauh. Tanpa sebarang bantahan, Nabi Ibrahim menunjukkan ketaatannya dengan membawa isteri yang sarat mengandung ke Makkah.

Si isteri pula, dengan penuh sangka baik kepada Allah menerima ditempatkan di satu lembah yang kering kontang semata-mata taat kepada Allah. Setelah anaknya, Ismail membesar, turun pula perintah supaya anak kesayangan itu disembelih sebagai kurban kepada Allah. Tanpa banyak soal Nabi Ibrahim melaksanakannya, dan Nabi Ismail pula dengan rela hati sanggup dikorbankan demi ketaatan kepada Tuhan.

Tiga watak yang mewakili seorang dewasa, Muslimat dan pemuda dalam kisah pengorbanan ini memberi mesej yang jelas kepada umat Islam hari ini bahawa perjuangan menegakkan agama adalah tanggung jawab bersama. Muslimat mesti berganding bahu dengan pemuda dan orang dewasa untuk memberikan ketaatan kepada Allah. Kita patut sedar bahawa Siti Hajar sebagai seorang yang beriman sanggup berkorban dan bersusah payah dalam menyatakan ketaatannya kepada Allah.

Nabi Ismail pula begitu sabar menghadapi ujian daripada Allah dan baginda sanggup menjadi korban sekiranya itulah perintah daripada Allah. Dan Nabi Ibrahim sendiri menyisihkan dirinya daripada godaan syaitan dalam melaksanakan perintah Allah. Inilah yang sepatutnya menjadi ikutan umat Islam hari ini sehingga perintah Allah dapat ditegakkan.

Bagi umat Islam yang mengerjakan haji, mereka sudah tentu sedar bahawa ibadat-ibadat seperti saie, melontar di Jamrah dan lain-lain mempunyai hubungan yang rapat dengan kisah ketaatan keluarga Nabi Ibrahim ini. Bagi umat Islam yang tidak ke Makkah, mereka melaksanakan ibadat kurban kerana memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim ini.

Semenjak kurban yang pertama dalam peristiwa Habil dan Qabil hingga pengorbanan Nabi Ibrahim; yang dituntut oleh Allah bukanlah binatang sembelihan atau darahnya, tetapi keikhlasan dalam hati setiap umat Islam yang berkorban.

Kerana itu, marilah kita bersama-sama menanamkan keikhlasan dalam jiwa kita ketika mengorbankan harta dan nyawa demi perjuangan untuk menegakkan agama Allah.

Janganlah hendaknya kita berjuang kerana mengharapkan habuan dunia sehingga kita sanggup menggadai agama dan prinsip hidup kita.
Mahfuz Omar Atikal Asal

My Blog List

Wali Band - Mari Shalawat

Wacana Perdana Dewan Besar Balai Islam

Date Conversion
Gregorian to Hijri Hijri to Gregorian
Day: Month: Year